Bunyi letupan semakin kuat mendekati, kami mengintai di sebalik tingkap, berbondong-bondong keluar sehelai sepinggan menyelamatkan diri. Ibu-ibu mengendong anak-anak kecil mereka, kanak-kanak berlari-lari mengejar ibubapa mereka, mencapai pakaian ibubapa dari belakang supaya tidak berpisah.
Orang yang tercedera sekali-sekala rebah ke bumi menahan sakit, kemudian mengesot di atas jalan raya bagi meneruskan perjalanan. Permukaan bertar pada jalanraya itu kemudiannya bertukar merah, jalanraya bagaikan sungai darah.
Malam itu secerah siang, letupan demi letupan menerjah bumi, disambut kepulan asap yang tinggi hingga mencecah awan. Suhu musim sejuk digantikan panas haba kebakaran yang melahap semua isi kampung.
" Kita juga mesti keluar ! " Suara cemas seorang gadis itu disambut dengan larian beberapa anak gadis lain menuju ke bilik. Aku mengikuti lantas, kalimah syahadah dan zikir khusyuk terlafaz. Jantung masing-masing berdegup kencang, setiap orang bagaikan melihat malaikat maut di segenap penjuru.
" Ambil apa yang perlu sahaja!"
Satu arahan di muka pintu bilik dikeluarkan, aku ingkar. Beg galas diisi dengan semua kelengkapan media, yang lain pula sudah keluar meninggalkan bilik. Aku meraba-raba laci, mencari semua dokumen pengenalan diri yang masih berbaki, bukti penting jika aku ditangkap.
Pap. Elektrik terputus, gelap-gelita. Aku melupakan hasratku, merangkak dengan meneka arah muka pintu berdasarkan kedudukan perabot di dalam bilik itu.
" Tutu ! Tutu !" aku mendengar seseorang memanggilku, lantas aku bangun dan belari ke arah suara itu, aku yakin dia pasti menungguku dia muka pintu bilik. Permukaan lantai yang tidak rata hampir membuatkan aku rebah tersadung, namun dalam kegelapan yang tiada samar, seseorang sempat menyambut lenganku sebelum aku tersungkur ke lantai lalu aku diheret keras.
Aku merelakan diri diheret dengan cepat walaupun terpaksa menahan kesakitan, lenganku kiriku terasa bagaikan dijerut tali sementara tangan kananku kemas memaut beg galas, enggan aku melepaskannya walau dalam apa jua keadaan.
Akhirnya langkah dia berhenti di muka pintu, perlahan-lahan aku dilepaskan.
" Sudah ! Masuk ke dalam! Tiada siapa dibenarkan keluar,suasana di luar sangat bahaya!" seorang lelaki berbadan sasa menjaga muka pintu tingkat dua itu.
Aku dapat mendengar teriakan laungan Allah dari kumpulan manusia yang bergerak meninggalkan kawasan perumahan mereka.
" Kita naik ke atas" aku mendengar satu bisikan.
Ketika penjaga itu sibuk menahan orang yang berada di tingkat itu keluar, aku dan Diyala (bukan nama sebenar) menyelusup ke arah tangga yang menghubungkan bumbung bangunan itu. Asap tebal di ruang udara menyukarkan penglihatan, letupan demi letupan kedengaran tanda api yang marak selesai melahap semua isi bangunan berdekatan.
Kami berjalan dengan melutut di atas bumbung yang rata itu, mendekati benteng. Dari celah-celah dinding aku dapat melihat das-das tembakan dilepaskan di luar jalan. Seorang demi seorang tumbang menggelupar kesakitan apabila peluru sesat itu mengena batang tubuh mereka. Aku meraba-raba poket jaketku, syukur telefon bimbitku masih dapat berfungsi. Aku menaip sesuatu, yang mungkin sebagai pesanan terakhirku kepada kerabat terdekatku. Aku memasang kamera, cuba merakam situasi yang berlaku.
Tiba-tiba bunyi letupan kuat dari bangunan hadapan membuatkan suasana menjadi pekak seketika, beberapa batang tubuh dilihat melambung bersama-sama percikan api. Kami berlindung di sebalik benteng bagi mengelakkan terkena percikan itu. Sebatang tangan yang hangus terbakar terpelanting tepat di hadapan kami, sisa-sisa api yang kecil kelihatan masih lagi membakar daging itu. Ngeri.
Sejurus kemudian, orang ramai memenuhi ruangan bumbung setelah gagal keluar dari bawah. Walaupun masing-masing kelihatan cemas namun mulut mereka tidak berhenti melaungkan azan, takbir dan zikir. Tiada yang ada di dalam fikiran melainkan bersedia untuk bertemu Tuhan.
" Allahu akbar"
" Hasbunallahu wa ni3mal wakil"
" La ila ha illallah"
Apabila seorang lelaki berbadan sasa tadi turut sama menaiki ruangan itu, dia diterpa orang ramai bertanya kemungkinan jalan lain untuk kami semua keluar.Tangisan kanak-kanak dan teriakan orang ramai membuatkan suasana semakin cemas.
" Kita akan mati. Kita akan mati. Ya Allah, keluarkan kami dari sini ! " Seorang budak perempuan yang mundar-mandir berdekatanku berteriak.
Pap. Seorang lelaki rebah. Serentak itu, semua orang menundukkan diri,bimbang terkena peluru sesat yang dilepaskan rambang di ruang angkasa. Budak-budak kecil dipeluk ke pangku orang yang terdekat, mereka sudah tidak kira itu anak siapa.
" Semua tunduk dan diam !" Satu arahan lambat keluar. Masing-masing sudah tersentak dengan kematian budak itu. Darah tersembur keluar dari dadanya, beberapa orang pemuda bergerak ke arahnya untuk memberi bantuan, namun tembakan itu terkena tepat pada bahagian jantungnya. Pemuda-pemuda itu kemudiannya mengalihkan mayatnya ke penjuru berdekatan, salah seorang daripada mereka menanggalkan baju sejuknya lalu menutup muka mayat.
Aku memejam mata rapat. Sekilas semua kenanganku pada waktu lalu terbayang. Aku memandang kiblat lalu menyempurnakan solat hajat secara duduk, begitu juga sebahagian besar mereka di situ.
Kami ibarat menunggu redha apa yang akan berlaku. Diyala mengintai ke bangunan hadapan lalu menjerit cemas, " Api marak sedang menuju ke sini! ''
Masing-masing bertambah cemas namun buntu.
" Keluar! Keluar ! " Satu suara menjerit, dia merangkak pantas ke arah tangga. Semua berbuat demikian.
Tiba-tiba satu letupan menggegarkan bangunan kami. Gelap.
**
1 comment:
Hello, we are team Cerita Senja, want to share new article from Cerita Senja blog # Travel, beauty and lifestyle
- Jakarta Humanity Festival 2019
- Review Emina Pore Ranger
- How to convert JPG to Ms.Word
Love, Farhati Mardhiyah
Post a Comment