Ranjau Musafirah Jordan

Aku menyeluk kedua-dua tanganku ke dalam poket jaket tebal, berjalan seiringan derap kakinya yang  sayup kedengaran di belakangku. Jika tempat ini Malaysia, tentu aku enggan merelakan. Jika situasi ini di Malaysia tentu nama gadisku telah tercemar. Jika latar episod ini di Malaysia, tentu memalukan berjalan bersama bukan mahram lebih-lebih lagi pada kegelapan malam.

Kasar derapannya sesuai dengan tugasnya dibelakangku, memuraqibkanku. Menjaga keselamatanku daripada pemuda arab sedang aku diganggu makhluk lain.


“ Wah, lihatlah kau ! Bersama seorang lelaki malam-malam buta begini, berdua-duaan pula !”

Tiba-tiba aku tertangkap suara sinis. Entah dari mana datangnya sehingga aku terus berpaling ke kiri dan meludah.

“ Ya Allah, jaga hatiku . Jaga hatinya ! Jauhi syaitan dari kami. Sungguh ! Aku sangat terdesak sehingga dia terpaksa menemaniku !”


Lorong-lorong bumi Jordan enggan diterangi lampu gemerlap seperti Malaysia, enggan memberiku cahaya keselamatan. Kadang-kala kelihatan beberapa orang lelaki arab memecah kesunyian bandar Irbid yang sentiasa lengang, paling lengang dengan kehadiran perempuan yang keluar  malam apatah lagi yang berjalan bersendirian pada pertengahan malam pula.

Keadaan semakin gelap dan sunyi apabila memasuki lorong menuju asramaku yang terletak di luar universiti. Aku merenung pohon-pohon zaitun yang mula mempamerkan hasilnya di musim sejuk ini, tumbuhnya di setiap inci jalan menjadi saksi larian pecutku, menyelamatkan bahtera kehidupan seorang musafir perempuan.


Pernah aku diekori seorang pemuda arab pada waktu hampir petang, pernah aku hampir diculik di lorong gelap ini. Pernah aku terjerat masuk ke dalam teksi yang dimiliki lelaki arab yang tak amanah menjalankan kerjanya.

Baru sahaja empat bulan di sini namun sudah banyak episod yang dirakamkan pepohon itu.

Wahai pepohon rimbun, enggankah membantuku?”

Saat tiba berhampiran asrama, cuping  telingaku gagal mengesan derap kaki pelajar lelaki Malaysia yang ditugaskan menemaniku itu. Aku berkerut. Pagar asrama yang sememangnya tertutup rapat selepas waktu qarar (jam 9 malam) menyebabkan aku terpaksa berada di halaman ini agak lama sehingga pintu dibuka dan inilah saat yang paling menakutkan -gelap dan bersendirian. 

Tolonglah temaniku sehingga penjaga asrama membuka pintu…”, cuma hati kecilku merengek, mampu meminta bantuannya sementara lidahku menyorok dek perasaan malu yang menebal tinggi. 
Bagaimana mungkin seorang gadis boleh melafazkan sebegitu kepada seorang lelaki !” 

Dia itu tidak lagi mengekoriku, bersedia untuk berpatah balik setelah tugasnya berakhir. Aku berpaling ke belakang.

“ Terima kasih”, bukan sahaja aku tak mengenalinya malah langsung tak menangkap wajah pemuda itu.
 “ Semoga Allah memudahkan perjalananmu”. 


Aku kembali tercegat di hadapan pagar. Merenung setiap bilik di bangunan itu yang kebanyakkannya sudah muram. Udara sejuk memasuki rongga hidungku tanpa selesa. Berkali-kali aku menekan loceng namun masih tiada selakkan langsir dari bilik penjaga asrama. Aku menyeluk sakuku, memuntahkan telefon bimbit yang tak berkredit. Hampa.


Suasana begitu sepi sehingga bunyi-bunyi riang bayu malam jelas kedengaran. Deretan kereta yang di parkir di tepi asrama menyorokkan aku daripada tempat umum. Kadang-kala muncul pemuda arab yang melalui lorong ini. Aku tertelan air liur.

Jari-jemariku erat menggenggam palang pagar yang kesejukan itu sambil terus menekan-nekan loceng.  Jam berlari sehingga setengah jam kemudian. 


Masih tiada jawapan. 
Mataku liar mencari idea. Beberapa orang pemuda arab menjamu mata ke arahku.

“ Ya Allah ! Aku sangat takut !”

Aku menggoyang-goyangkan pagar kecil itu. “ Takut ! Takut !”
Ransangan air mata jantinaku mulai aktif.

“ Assalamua’laikum!” sesekali aku menjeritkan salam dengan suara yang ditepis bayu sejuk. Aku cuba lagi tinggikan suara namun kedengarannya seperti suara orang yang berbisik cuma.
Ya, Allah!”

Memoriku kembali kepada topik perbincangan hangat sesama pelajar Malaysia di bumi anbiya’ ini, disoal kepada pelajar perempuan yang enggan menjerit apabila diapa-apakan oleh pemuda-pemuda arab, seolah-olah merelakan diri diperlakukan sedemikian. Sejenak tuduhan dibaling.
Sedang yang datang ke bumi ini adalah golongan hawa yang tak pandai merempit, yang tak biasa berpesta sorak bahkan jarang mengeluarkan suara tinggi melainkan yang halus sopan. Ketahuilah ciptaan unik Allah ini sungguh lemah, sehingga ada yang masih tak mampu menjerit walaupun ketika adrenaline bergerak laju dalam keadaan cemas sekalipun.
Hembusan udara menyapa pipiku. “ Tolong aku, ya Allah !”. Dari tadi loceng itu menjadi pentas tarian jari telunjukku. Suasana gelap menambahkan gusar hatiku. “ Fikir cara lain !”


Aku memuncungkan mulut. Kedai-kedai di hujung jalan masih lagi beroperasi, namun bagaimana mahu meminta pertolongan dengan pemilik kedai lelaki ? 
Apatah lagi ingin menyatakan aku mahu meminjamkan telefonnya ?

Huh, mustahil ! Entah-entah aku yang dipermainkan !”

Rata-rata penjual di sini adalah lelaki bah golongan perempuan pun jarang yang memandu kenderaan. Kehidupanku pada awalnya di sini agak rumit dek setiap benda perlu berhadapan dengan kaum Adam bahkan jika di tanah air, aku tidak akan sesekali ke kedai runcit yang penjualnya lelaki. Di sini pun, seringkali aku meminta rakanku membelikan keperluanku. 

“ Uish budak ni ! Sikit-sikit malu. Nanti bila awak kahwin, saya nak pesan pada suami awak - maaf ye, kawan saya ni pemalu sikit !” ada yang sempat cuak dengan sikapku. Aku akui kehidupan di sini mengajarku erti keterbukaan atau aku terpaksa hidup dalam kesempitan.

Tersentak, sebuah kereta yang diperlahankan menghentikan lamunanku. Pemandu yang berkeludungkan topi baju sejuknya tepat berpaling ke arahku. Jantungku kencang mengepam darah. Sejenak.
Kemudian dia meneruskan pemanduannya. Aku menarik nafas lega.

“ Ya, Allah. Bagaimana ni ?!” aku sangat berharap agar kawan-kawanku menyedari ketiadaanku di asrama pada lewat malam atau keadaanku bertambah malang sekiranya mereka telah tidur. Puas loceng itu kutampar namun masih tiada jawapan positif.

Rumah pelajar Malaysia yang paling hampir terletak 200 meter sahaja dari sini. Menuju ke sana menjadi perkara paling bodoh kerana bertambah mendedahkan aku dengan risiko bahaya lantaran lorong-lorong di situ semakin gelap dan sunyi.

Aku tersandar dipagar, membelek-belek mushaf kecil berwarna hijau yang menjadi penyebab aku menjadi bebas keluar pada waktu malam, penyebab aku mendapat risiko yang lebih tinggi daripada rakan lain. Rupanya, terpilih masuk dalam akademi ini bukan sahaja suatu nikmat tetapi juga satu ujian !

Tiba-tiba aku menangkap bunyi derapan kaki oleh si pemakai selipar. Aku mengangkat wajah, mengecilkan bebola mata. Seorang pemuda yang agak tinggi lampai melaluiku, digenggamnya plastik hitam. Mungkin selesai membeli barang di kedai berhampiran. Aku tak mengenalinya tetapi hatiku berombak lega.

Kami berpandangan dalam kegelapan malam. “ Melayu ke ?”aku cuba bertanya namun lidahku beku seiring kakiku yang kaku. “ Ya, syabab !”, jiwaku riang mengharapkan pertolongan darinya namun dia terus melangkah tanpa henti.

Aku masih bergelut dengan halkumku sementara dia beredar pantas meninggalkan. Harapanku putus. Aku memandang kakiku yang enggan meluru ke arahnya, tergamam dengan sikap bodohku.

“ Ya Allah ! Adakah kerana aku seorang perempuan lalu malu enggan melepaskan aku ? Ya Allah ! Adakah kerana aku perempuan sehingga aku tak terdaya meminta bantuan darinya ? Ya Allah ! Hanyakah kerana aku perempuan ?" Hatiku kesal dek melepaskan peluang yang ada, bagai digigit sembilu - aku dapat merasai suatu keperitan yang mendalam.

Aku menekup tanganku ke muka. “ Allah, Allah !” Padahal kami saling berpandangan, tidakkah dia menyedari keadaanku yang dhaif bersendirian kesejukan pada tengah malam buta ini ?  


” Ya Allah, demi kebesaranMu, campakkanlah perasaan prihatin dan kasihan kepada kaumnya untuk menolong mereka yang diciptakan lemah memerlukan bantuan !”

Bulan penghias malam langsung tak memunculkan diri, membiarkan aku sendirian membeku dalam kesejukan musim bersalji ini. Loceng masih ditekan, namun mungkin semuanya sedang enak dibuai mimpi. Mataku tertumpu ke arah bangunan separa siap yang terpacak betul-betul di hadapan asrama ini. 
Atau malamku di situ sahaja?

Tiba-tiba terngiang-ngiang esakkan sahabatku yang pernah diraba oleh remaja arab pada bulan lepas. Kes pemuda arab mengangkat pelajar lelaki di lorong berhampiran masih belum basi lagi. Bahkan ada juga pelajar perempuan di sini berlari sehingga satu kilometer setelah dikejar sekumpulan orang arab. Perkataan  'Nihao ma' dan 'Ali Baba' pula sentiasa berkumandang tatkala pelajar-pelajar Melayu melalui sekitar jalanan. Itu  tak termasuk lagi bab curi dan ragut.

" Nti terima tawaran ke Jordan ?! Belajar di Malaysia sahajalah, kat sini (Jordan) syabab (lelaki) pun tak selamat, ada yang kena raba. Apatah lagi perempuan, Irbid tu pula kawasan bandar !" Pernah aku mendapat tentangan sinis setelah membuat keputusan untuk bermastautin di sini. Aku cukup merajuk kerana memudarkan hasratku namun sememangnya aku akui hakikat kata-katanya.


Sekali lagi kereta Honda bewarna putih itu melaluiku. Pemuda di dalam kereta itu berpaling ke arahku- benar-benar menakutkanku. Urat kepalaku mulai tegang, perasaan yang tak enak mengisyaratkan bahawa perkarangan asrama ini tidak lagi selamat untukku.

Terserentak, otakku ligat memikirkan apa yang akan berlaku, penutup tirai hidupku hari ini. 

Aku beralih ke celah pohon zaitun berhampiran- sembunyi. Tajam pandanganku ke arah tembok di sebelah pagar.  Akhirnya aku mendapat idea !

Dalam fikiranku, ada dua sahaja cara - samaada panjat pagar asrama atau keluar dari lorong ini untuk mendapatkan bantuan dari rumah jiran.

Arggh ini bukan masanya untuk berlemah-lembut !” Tafsir Al-Quran yang erat ditanganku dilepaskan di atas pagar. Aku mendapatkan bahagian tembok yang agak rendah. Memilih untuk keluar dari lorong itu sendiri  mengundang risiko yang besar apatah lagi meminta bantuan daripada bangsa yang kurang dikenali. Namun tembok di sini yang tiada lubang sangat menyukarkanku.

Aku menanggalkan jaket, mengangkat kain dan mula memanjat tembok itu sehinggalah kedengaran bunyi kunci  dari dalam asrama, cuba membuka pintu.

 “ Ya musyrifah !!! Ana ! Ana !” akhirnya loceng itu mendatangkan hasil juga kepadaku. Aku menjerit-jerit bagaikan orang  yang tersesat di dalam hutan.

Tersenyum sendirian, aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Alhamdulillah !
Telah terbatal hasratku atau jadilah aku muslimah Melayu pertama memanjat pagar asrama di Jordan !

Namun rupanya, awan tak secerah yang disangka. Kesukarannya membuka empat pintu yang berkunci masih membekukan batang tubuhku dan juga mendedahkanku kepada ancaman luar.

“ Ya musyrifah !!!” aku mengoyang-goyang pagar, tanda tak sabar untuk masuk ke dalam.


Selang beberapa minit, aku melihat bayang batang tubuh itu berlalu pergi tanpa membuka pintu. Aku terkejut besar.


“ Ya musyrifah , hai ana ! hai ana ! (Wahai penjaga, ini aku! )”, aku terus menjerit namun susuk manusia itu tidak kelihatan lagi. Nafasku tercungap-cungap keletihan.


Takdirku berubah 180 darjah. Buntu. Suhu yang mencecah 5 darjah membuatkan aku mengigil kesejukan.

Tiba-tiba aku berpaling ke belakang, ke arah jalan kecil menghala ke asrama ini. Kelihatan dua orang pemuda sedang berjalan menghampiriku. 


Ini bukan idea yang bagus !” Lantas aku mendapatkan mushaf di atas pagar, membongkokkan diri sambil berjalan di sebalik deretan kereta- berlindung di sebalik sebuah pokok zaitun. Tiada jalan lain melainkan cara kedua iaitu keluar dari jalan gelap ini.

Namun dalam masa yang sama, akhirnya aku mendengar kembali bunyi orang yang sedang membuka pintu. Dari rimbunan pohon zaitun itu, aku dapat melibat kelibat beberapa orang perempuan sedang cuba membuka pintu.

Dua pilihan dalam satu masa ! Fikiranku keliru sesaat. 


“ Ah, jalan mana ni?!” Menunggu mereka sambil dihampiri dua orang pemuda yang semakin hampir itu adalah sangat berisiko kerana belum tentu mereka dapat membukanya lagi namun keluar dari jalan gelap itu belum tentu pula akan selamat.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk keluar dari rimbunan pohon itu, berlari mendapatkan pagar. Melambai-lambai dalam keadaan cemas

“ Ya musyrifah ! Ya musyrifah !”, lebih baik berada dalam keadaan berisiko sementara daripada mengambil risiko yang belum tentu selamat, aku mengoyang-goyangkan lagi pagar yang membeku itu.

Pemuda berbaju sejuk itu kelihatan berbisik dengan kawannya itu. Aku meloncat-loncat tak sabar, menunggu pagar untuk dibuka sementara mereka semakin pantas menghampiriku. Aku berpaling ke hadapan dan ke belakang, mengira  siapa yang cepat mendapatkanku dahulu.


Akhirnya sebelum beberapa langkah pemuda itu ke arahku, musyrifah berjaya membuka pintu asrama, keluar  mendapatkanku dengan letarannya. Cepat aku masuk ke dalam pagar dan menutupnya. Kedua-dua pemuda tadi tinggal bayangan, ditelan kegelapan malam musim sejuk ini.






p/s : 
Reader :Satu dua percikan kisah ranjau akhowat di Jordan. Doa-doakan kami pelajar luar negara baik-baik sahaja di sini .
Akhowat : hati-hati
Syabab: Syukran 
Mom : plis don't read this article, i'm just fine


“ Ya, Allah ! Ranjaunya perjalanan ini, peliharalah kami ! "

9 comments:

Anonymous said...

Hati-hati ye lain kali

naDhi_islamiC said...

Inshaallah, always ^_^

takpe, benda2 ni semua da biasa, masa mula2 dtg sni rasa down gak tp lama2 duk sini, ok je malah da tbiasa . ^_^

hurien_eyn said...

mashaAllah ya habibaty,
Ya Allah lindungi sahabatku!!
:'(

naDhi_islamiC said...

La baksa bih, dont worry. i'll be okey ^_^ but pliz drop ur du'a 4 us ! sykran ain ^_~

Op uLyA said...

allah, terimakasih atas perkongsian dan luahan ini.

tahun ini ,kami ada buat satu system. akhwat boleh sahaja bersuara kalau-kalau nampak syabab melayu dan nak mintak pertolongan.

dan kalau ada lagi masalah murraqib sedemikian report dekat saya. bagitau saya siapa murraqib tersebut.

maaf atas salah silap.

jaga diri.

naDhi_islamiC said...

wow ! Ketua Keselamatan Irbid komen sini ! hurm salah sy juga
ok inshaallah syukran

lisde said...

penceritaan yg menarik dan bagus!

Anonymous said...

nice story nadh,
seram sejuk jugak bila baca,
seolah2 saya berada disituasi cerita,
isu muraqib,not bad..mafraq,irbid..cane mu'tah plak?hehe..
erm..perlukan kekuatan utk menepis segan dikala situasi ini..ap2 pun hati2 untuk akan datang..^^,

naDhi_islamiC said...

haha, saje-sengaja nadhi citer sal ni sbb selalu post yg manis jerk smpai ramai bkenan nak dtg sni.. btw other side ni bknnya truk sgt, bahkan nadhi sendri xserik2 kluar.. time mula2 dtg sni, nangis slalu kowt sbb takuttp xgtau pun fam n kwn2 sbb xnak diorg riso pastu lama2 jdi da bese, kdg2 kat kaw gelap pun xpndai nk guna muraqib- bawa pisau n waspada keadaan skitar.laksanakan apa yg mampu, inshaallah kheir^_^