Nyawa hati pengembara ilmu

Tahun ini kurang aku post sesuatu atau lebih tepat kurang aku berblog. Tapi aku tetap dengan hobiku, menulis puisi atau coret-coret cuma tak dipublishkan namun gelaran " Blogger Berdenyut'' sentiasa sahaja menghigapiku sedangkan aku lebih suka memilih untuk bergiat secara diam-diam tanpa pengetahuan ramai. In fact, fokus yang aku berikan pada tahun ini bukan lagi ke arah penulisan walaupun aku masih lagi aktif terlibat dengan sebuah produksi majalah.

Hari ini aku nak coret sesuatu jauh di sudut hati aku, mungkin agak kasar or straight to the point so kalau ada yang tersinggung, demi Allah aku tak maksudkan siapa-siapa. Juga di samping menjawab pertanyaan kebanyakkan mereka yang memenuhi inbox mengenai kehidupanku di sini dan pembelajaran di Universiti Yarmouk. Lebih-lebih lagi lepasan SPM pun akan mendapat keputusan mereka nanti dan mungkin akan alami semacam apa yang aku lalui - keliru dengan bidang dan pilihan-

Cara Belajar di Yarmouk

Alhamdulillah sekarang hampir setengah tahun nyawaku di Tanah Arab ini, berada di tengah-tengah masyarakat yang memahami al-Quran tetapi tak semestinya mengamalkan kesemuanya namun sosial mereka adalah lebih baik dari negara kita. Menjadi pelajar di sini sangat mudah- masuk kelas, dengar doktor syarahkan. Kalau faham, angguk. Kalau tak faham, angguh-angguk. Haha.

Tapi bagi aku, sangat rugi mereka yang tidur di dalam kelas sebab walaupun pada awalnya tak faham apa yang doktor cakapkan, sekurang-kurangnya boleh dapat tangkap dulu loghat doktor tersebut. Before this, pernah mendengar rungutan mengenai terdapat pelajar luar negara tak masuk kelas sebaliknya pergi merantau tetapi boleh berjaya dengan hanya menghafal buku-buku. 

Ya ! Itu tak mustahil kerana para doktor di sini kebanyakkannya consider pelajar Malaysia. Okey sahaja dengan teruskan perangai ponteng, asalkan rexux tak menjejaskan. Tapi bagi aku, mereka yang sebegitu adalah mereka yang terlupa bahawa berguru itu dengan doktor, bukan dengan kitab.

Kawan-kawan Arab di sini sangat suka menolong bahkan hampir tiap-tiap hari aku dating dengan seseorang untuk syarahkan semula kitab-kitab ilmiah atau buku-buku cerita. Aku terpaksa bekerja keras sedikit untuk mendapatkan bahasa yang tak terjangka aku akan menuturkannya ! Namun yang agak aku kesal, sikap segelintir mahasiswa Melayu yang sangat prejudis dengan hal ini. Apabila orang Melayu berdamping dengan orang Arab, seolah-olah mereka merasakan orang Melayu itu sombong ataupun melebih-lebih. Kadang-kala aku rasa sangat bosan melayan fikiran mereka yang terlalu kolot dengan bangsa.

Tapi aku mengaku aku memang buat-buat tak kisah ataupun kawan-kawan panggil aku neutral sebab sama sekali aku tak akan terpengaruh dengan apa jua buah mulut orang. Sekali aku berazam, aku tak akan padamkan dan aku tetap dengan apa yang aku kejarkan.

Misalnya di dalam kelas, aku tak duduk dengan sesama orang Melayu untuk dapatkan nota orang Arab yang pantas menangkap dan menulis apa yang disyarahkan doktor dan buku notaku juga menjadi rebutan pelajar Melayu. Jadi kadang-kala dalam hati aku terlintas,

" Kenapa cakap aku sombong tapi nota aku pun untuk faedah orang Melayu juga''.

Sifat yang terlalu fikirkan negatif, tak mahu keluar dari tempurung minda prejudis, suka memburuk-burukkan dan mahu kekal di takuk lama. Entah, aku sendiri akui tak faham akan sikap segelintir pelajar agama ni. Sebab itu aku pendiam dan aku sebenarnya paling pantang mendengar benda-benda kolot, negatif dari mulut-mulut orang.

Walaupun sistem di negara Arab ini kurang sistematik berbanding dengan Malaysia, namun aku sangat tak suka mereka yang membanding-bandingkan keadaan Malaysia dan keadaan di sini. Sememangnya sistem peperiksaan, dari segi kertas soalan sehinggalah masa peperiksaan yang boleh diubah dan ditunda-tunda menjadi kehairanan pelajar Malaysia namun itu bukan alasan untuk mengutuk atau bahasa sopannnya mengumpat seorang doktor. Dalam hati aku, " Mungkin mereka tak sedar kata-kata mereka itu seolah-olah merendah-rendahkan pemberi ilmu. Astaghfirullahal 'azim, nauzubillahi min zalik"

Pelajar Syariah

Straight to the point, aku memang mengejutkan ramai apabila mengambil keputusan untuk menjadi pelajar agama bahkan entah macam mana aku nak gambarkan betapa ajaibnya pilihan yang telah aku buat. Kadang-kadang aku langsung tak percaya yang aku merupakan pelajar dalam bidang agama pengkhususan fiqh dan usul !

Haha. Mungkin ini doa kawan-kawan yang suka panggil aku ustazah di sekolah dahulu walaupun apabila ditanya akan cita-citaku, pernah aku menjawab yang aku tak akan terjun ke dalam bidang agama kerana aku lebih suka lambakan mereka yang faham agama terjun ke bidang sains.

Bagi aku, menjadi pelajar syariah boleh jadi sangat sukar dan sangat senang. Ia bergantung kepada diri masing-masing. Tambahan pula jadual masa pelajar agama terlalu lapang sehingga menjadi ujian kepada mereka. Pergi universiti dalam kurang 7 jam sehari, kemudian mengadap laptop dengan kerja yang tak berfaedah- movies, games, fb. Okey sahaja dengan sifat begitu tapi bagi aku,sangat rugi bagi pelajar agama sedang terlalu banyak 'tugasan' agamawan kepada masyarakat.

Aku sangat care dengan status ' pelajar agama' tau, aku pun tak tahu kenapa, sebab tu aku sangat takut time mula-mula bergelar pelajar agama. Aku takut kekuranganku menjadi fitnah kepada agama. Nauzubillahi minzalik. Cuma dalam fikiranku, kalau sifat 'layan' benda-benda sebegini terpalit pada pelajar agama, bagaimana dengan pelajar bidang lain pula agaknya dan golongan mana yang mahu terpalit dengan hal-hal agama kalau pelajar agama pun bersikap sebegini ?

Jiwa aku meronta-ronta " Kaukah yang akan digelar ustazah nanti, dirujuk sebagai panduan hidup sedang waktu-waktumu terbuang dek hal dunia yang remeh lagi melalaikan ? "

Sebab tu aku kata, senang dan sukar itu tertakluk atas diri masing-masing sebab bidang ini bagi aku sangat special, berbeza bidang-bidang lain yang kita perlu mengetahui faktanya, membaca tentang kajiannya tetapi tak perlu mengamalkannya.

Apapun, aku sangat suka belajar kat sini bahkan aku telah jatuh cinta dengan mana-mana doktor di sini !

Fokus Az-Zikr

Semasa aku mendapat berita terpilih masuk ke akademi menghafaz al-Quran, aku tak dapat bayangkan bagaimana gembiranya aku sehingga aku hampir menjerit. Sebelum ini aku pernah memohon masuk ke sekolah menengah hafazan IMTIAZ dan Darul Quran tapi bibit-bibit kecewa meranapkan impianku untuk memasukkan setiap baris kalam Allah ke dalam hatiku. Terus terang dari sudut hati aku, aku sentiasa berdoa untuk hafaz Quran walaupun aku tahu aku tak upaya nak hafaz sendirian akhirnya rupa-rupanya Allah ada perancangan yang lebih baik untukku.

Aku akui banyak peluang-peluang lain aku tutup dan terpaksa aku kaburkan minatku terhadap perkara-perkara lain demi akademi ini lebih-lebih lagi aku target untuk tamatkannya dengan cepat dengan dapatan 1 juzuk selama sebulan dengan izin Allah.

Dengan alihan fokusku ini menjadikan aku agak sibuk tanpa berpeluang menulis artikel-artikel ilmiah dan terlibat secara aktif dalam produksi majalah dan juga team-team lain serta termasuk kurang mengupdate blog ini. Aku juga menolak sebarang jawatan melainkan cuma menolong persatuan pelajar di sini sekadar yang termampu. Aku sebenarnya memang sengaja menyibukkan diri kerana aku risau akan ujian waktu lapang. Sebab itu bagiku, mereka yang terlibat dalam kerja amal, bukan menolong orang lain melainkan menolong mereka sendiri.

"Oh, ujian masa lapang adalah ujian paling sukar dalam hidupku ! "

Produksi Majalah

Alhamdulillah pada tahun ini Allah lapangkan jalan untukku bergiat secara rasmi dalam penerbitan majalah online. Setakat pengalamanku yang sebelum ini pernah terlibat dalam menghasilkan sebuah buku semasa di sekolah menengah bersama team pengawas sekolah dan editor sebuah majalah islamik sebaik tamat sekolah menengah, aku turut sama dalam bidang ini dengan harapan faedah ilmu dan pemenuh waktu lapangku.
Hal ini menjadi sebab aku akan lebih banyak bergelumang dengan kitab-kitab fiqh di perpustakaan Yarmouk dan maktabah-maktabah online di ruang sosial bagi mendapatkan dalil dan sumber sesuatu hukum.

Cabaran Pengembara

Kelas yang diadakan bermula pada waktu maghrib ini juga merupakan satu ujian getir buatku mengharungi kegelapan malam bersama pelbagai ragam manusia dan menggandakan risiko keselamatan dengan ke kelas sendirian hampir pada setiap malam. Namun di sinilah aku belajar erti pengorbanan menuntut ilmu yang mungkin tak dirasai oleh kawan-kawanku yang lain.

Kembali Pendiam

Aku kembali dengan sikap pendiam yang suka menyendiri. Seingatku sewaktu dipilih menjadi pengawas di sekolah menengah, perangai ini jarang terpamer sebagai jati diriku kerana pelantikkan itu memerlukan aku bersuara atau memberi pendapat. Cuma kawan-kawan terdekatku sahaja memahami bagaimana aku suka melayan perasaan sendiri. Haha. Aku pendiam tapi aku ceria. Aku dibuli tapi aku merelakannya. Ramai yang tak percaya tapi itulah aku suatu ketika dahulu sehingga ada yang tak senang melihat aku diam, bimbang aku tersinggung padahal tiada apa-apa pun lantas menyebabkan aku bertindak mengikut situasi.

Tak Mahu Pulang Malaysia Tanpa Keperluan

Mana ada anak yang tak merindui ibunya, ayah serta keluarga tercinta. Sekalipun ada, itu adalah sifat orang yang tak tertanam perasaan kasih dan sayang dalam hati mereka. Dari segenap pelusuk nafasku, aku tersangat-sangat merindui kaum kerabatku bahkan aku sentiasa menghantar awan putih merentasi langit biru sebagai khabar kerinduan ini bersama tinta mata yang tak puas kunjung.

Namun aku masih ingat pesan ayah, masih ingat pesan mak. Ilmu. Kepulangan itu yang mereka tunggukan, sekiranya aku hanya membawa pulang sekeping hati nipis serta kosong, maka apa gunanya bagi mereka ? 

" Kalau belajar untuk cari kerja, baik tak usah belajar. Pergi sana, belajar betul-betul !" 

Tepat kata-kata seorang lelaki menusuk kalbuku sehingga mendentumkan setiap sel darahku membawa aku melalui lemaan suatu fasa.

Belajar di U.Al-Azhar

Memang tak aku nafikan, mendengar khabar mengenai pembelajaran di universiti tertua ini membuatkan aku cukup terliur sehingga menaruh niat untuk ke sana pada tahun kedua atau ketiga nanti pada bulan soifi untuk mengikuti pengajian di sana. 

Insyaallah

Diari si pengembara ilmu
-nadhi_islamic-

2 comments:

sea_lavender said...

thnkx atas perkongsian =)

Wann Syada said...

setuju.masa lapang yang sgt2 bnyak ni jadi ujian utk kite student agama, compare to student yang amek medic dan dentist, sbb jadual dorang sentiasa pack.kalau x diuruskan dgn bijak, masa lapang boleh bawak kepada maksiat. kan ?

dan takut jugak, balik malaysia bukan balik kosong,sbb orang lain seolah2 akan nmpk tittle 'student syariah' kat dahi ni. besar amanah kita utk agama maasyAllah~